Manipulasi Bisnes MLM & Skim Cepat Kaya
Sumber ini diperolehi dari: http://www.majalahniaga.com/manipulasi-bisnes-mlm-skim-cepat-kaya.html
October 04, 2013 — Penulis: Tim Majalah Niaga
Multi Level Marketing (MLM) atau Pemasaran 
Berbilang Tingkat merupakan satu strategi pemasaran di mana pasukan 
jualan atau ejen dibayar komisyen atau bonus berdasarkan jualan mereka 
sendiri dan juga jualan ejen lain yang direkrut. Pasukan jualan yang 
direkrut ini biasanya dipanggil sebagai ‘downline’.  Antara terma-terma lain yang digunakan untuk MLM ialah ‘network marketing’ dan ‘referral marketing’.
Kami sendiri tidak menjalankan bisnes berkonsepkan MLM dan tiada 
cita-cita mahu mengasaskan syarikat MLM. Kami menghormati sebahagian 
pembaca blog Majalah Niaga yang terlibat dalam industri ini.
Hasil bergaul dengan beberapa ketua di dalam syarikat MLM, kami boleh
 membuat kesimpulan ada 2 jenis manipulasi di dalam bisnes ini. Maklumat
 ini berguna supaya para pembaca dapat mengelak dari masuk perangkap.
#1. Manipulasi pengasas syarikat MLM.
Syarikat MLM seperti ini menjadikan produk sebagai wayang sahaja. 
Harga produk diletak tinggi melampau, tidak sesuai dengan kos dan 
kelebihan produk tersebut. Contoh, harga sekotak kopi berkhasiat 
biasa-biasa diletak harga RM 150.
Syarikat seperti ini sebenarnya fokus kepada jual beli orang (head hunting),
 bukannya jual beli produk. Produk digunakan untuk mengaburi mata bakal 
pelanggan. Modus operandi sebenar disebalik tabir ialah ‘money game’.

Selain itu, ada segelintir syarikat MLM yang terang-terangan melakukan aktiviti ‘money game’. Bagaimanakah
 ia dijalankan? Syarikat jenis ini lazimnya menyediakan 2 bentuk pelan 
pemasaran. Sebagai contoh, satu pelan A dan satu lagi pelan B. Pelan A 
fokus kepada merekrut ejen-ejen baru di bawah dan dibayar komisyen atas 
setiap rekrut. Pelan A ini adalah pelan pemasaran biasa yang diamalkan 
di dalam semua syarikat MLM.
Di sebalik pelan A, syarikat ini juga mengaktifkan pelan B di mana 
ditawarkan pelaburan berkonsepkan ‘goyang kaki dapat duit’. Peserta yang
 menyertai pelan B ini ditawarkan pulangan tertentu setiap bulan 
bergantung kepada jumlah pelaburan yang dibuat. Biasanya dalam 
lingkungan 5% hingga 20% setiap bulan.
Fokus utama syarikat ini sebenarnya untuk mengaut keuntungan daripada ‘money game’ pelan
 B. Tiada cara lain yang diguna pakai oleh mereka melainkan duit 
pelaburan orang baru digunakan untuk membayar pulangan pelaburan orang 
lama. Cara yang biasa diamalkan oleh penganjur skim cepat kaya yang 
lain. Pelan A itu pula sengaja dibuat-dibuat untuk mengaburi mata pihak 
berkuasa untuk mendapatkan lesen MLM.
#2. Manipulasi leader MLM.
Walaupun ada syarikat MLM yang meletak harga sesuai dengan produk dan
 menjadikan kekuatan produk sebagai alat utama mereka untuk berkembang, 
tetapi terdapat segelintir leader yang ‘kreatif’ telah memanipulasi pelan pemasaran dengan cara mempengaruhi bakal ahli membeli secara pukal.
Pembelian pukal ini memudahkan mereka naik pangkat dan bonus bulan 
pertama mereka akan banyak. Keratan atau slip bonus itulah yang dijaja 
untuk mempengaruhi bakal ahli lain. Ada pembelian pukal berjumlah 
sehingga RM 30,000. Ada juga serendah RM 5000. Lazimnya, mereka 
mempengaruhi bakal-bakal ahli membuat pinjaman peribadi untuk melakukan 
pembelian ini.
Hakikatnya, majoriti ahli yang membuat pembelian pukal tersebut 
banyak bonusnya di bulan pertama sahaja. Bulan kedua dan seterusnya 
merosot atau tiada langsung. Bonus kelihatan banyak di atas cek sahaja, 
selepas ditolak kos pembelian pukal, sebenarnya tidak balik modal.
Maka lahir ramai leader-leader MLM ‘berkereta mewah tetapi tayarnya botak.’
Penting untuk kami tekankan di sini bahawa tidak semua syarikat atau leader
 MLM seperti di atas. Ada syarikat MLM yang bagus dan patuh syariah. 
Maklumat di atas boleh dijadikan panduan untuk elak duit hangus dibakar 
oleh syarikat dan leader MLM bertopeng!
Skim Cepat Kaya – Kembali Berleluasa
Skim cepat kaya merupakan satu 
skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada 
penganjur skim cepat kaya dangan janji dan syarat bahawa wang deposit
 tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan. Faedah
 dan keuntungan yang ditawarkan biasanya lebih tinggi daripada apa yang 
ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen.

1980 – 1990
Daripada tahun 1980-an sehingga 1990-an generasi lama menyaksikan 
kejatuhan skim-skim cepat kaya seperti Pak Man Telo, Labu Peram, 
Platinum Lane, Skim 350 dan banyak lagi. Ketika ini, perbankan Internet 
masih tidak wujud. Majoriti pelaburan dibuat melalui serahan tangan dan 
melalui mesin deposit tunai. Pulangan pelaburan pula ada yang dihantar 
menggunakan kenderaan ke rumah-rumah pelabur. Selepas kes serbuan dan 
penutupan skim ini, ia terus senyap sepi.
2006 – 2007
Pada tahun 2006, fenomena skim cepat kaya kembali gempar dengan 
kemunculan berpuluh-puluh syarikat pelaburan Internet seperti Swiss 
Cash, EA Index, DanaFutures, E-Barrel, Arabic Fund dan banyak lagi.
Pada tahun 2007, skim-skim pelaburan Internet ini mula ditutup dan pusat operasi mereka diserbu oleh pihak berkuasa.
Majoriti penganjur-penganjur dan individu di sebalik tabir skim ini masih bebas kerana tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka.
2008 – 2010
Penganjur sama yang terlibat di dalam pelaburan Internet pada tahun 
2006 kembali dengan cara lebih kreatif. Kali ini, mereka mengaktifkan 
semula skim ini dengan cara mendaftar sebagai koperasi.
Mereka menyalahgunakan lesen koperasi untuk kutip duit melabur dan dijanjikan pulangan lumayan sama ada melalui ‘introducer bonus’
 atau melalui pelaburan dibuat. Mereka meyakinkan pelabur dengan 
mengatakan pelaburan yang dibuat itu dilaburkan di dalam sektor 
pertanian, penternakan dan hartanah.
Mereka mendakwa koperasi mereka memiliki tanah-tanah seluas 
berhektar-berhektar untuk digunakan atas tujuan-tujuan di atas. Semakin 
tinggi pelaburan, semakin tinggi pulangan setiap bulanan diterima. 
Pembayaran keuntungan itu dibuat tanpa dijelaskan terperinci mengenai 
prestasi perniagaan. Akaun-akaun perniagaan mereka juga tidak diaudit.
Majoriti koperasi yang mengamalkan skim pelaburan cepat kaya ini 
telah ditutup. Sebahagian sahaja diserbu dan dibekukan akaun oleh Bank 
Negara. Baki yang lain sengaja ditutup atas tujuan untuk melesapkan duit
 peserta. Penutupan itu telah dirancang lebih awal.
2011 – 2013
Tamat kisah skim cepat kaya koperasi , kini timbul pula skim berasaskan Forex dan Emas.
Kami tidak mahu mengulas panjang mengenai skim pelaburan emas 
berikutan kes serbuan ke atas syarikat Genneva pada tahun lepas dan 
tempoh hari 5 individu berkait rapat dengan syarikat ini akan dihadapkan
 ke Mahmakan Seksyen atas tuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM 937 
juta.

Hati-hati dengan mana-mana syarikat pelaburan emas yang menawarkan 
pulangan setiap bulan atas pembelian emas. Ia satu operasi bisnes yang 
tidak logik. Cara betul ialah dengan membeli emas sama ada jongkong, 
dinar atau barang kemas di kedai-kedai emas atau melalui institusi 
kewangan berlesen. Keuntungan diperolehi melalui jualan semula emas 
tersebut dengan harga lebih tinggi.
Berkenaan dengan Forex pula, kami tidak mahu mengulas mengenai 
urusniaga mata wang asing melalui Internet yang dibuat secara individu. 
Walaupun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, namun 
status hukumnya masih diperdebatkan di kalangan pedagang-pedagang Forex.
Kami hanya mahu mengulas mengenai segelintir syarikat yang menjadikan
 Forex sebagai wayang. Syarikat-syarikat ini membina platform graf yang 
dipanggil Metatrader4. Mereka membenarkan klien membuka akaun Forex sama
 ada akaun Demo atau Real. Syarikat ini kelihatan seperti memenuhi 
kriteria dan ciri-ciri asas broker Forex yang sah.
Namun, itu semua dibuat untuk mengaburi mata. Di belakang tabir, 
syarikat ini menawarkan pulangan bulanan di atas pelaburan yang dibuat. 
Laman web broker ini juga tidak menunjukkan dengan jelas siapa pengasas,
 board of directors, dan staf-staf yang terlibat. Ayat-ayat di 
laman web mereka adalah skrip sama yang dipakai oleh laman-laman web 
syarikat skim cepat kaya yang lain.
Mereka juga menyatakan kononnya mereka didaftarkan secara sah di 
negara-negara seperti Cyprus, Panama, Virginia Island, South Africa dan 
di lokasi-lokasi luar pesisiran pantai.
Modus operandi di belakang tabir ialah, apabila klien mendepositkan 
jumlah tertentu untuk membuka akaun Forex, duit dagangan mereka itu akan
 dipaparkan di skrin ‘trading station’. Untuk menarik minat klien atau pelabur, biasanya mereka akan ditawarkan bonus berupa modal tambahan di dalam akaun mereka. Contohnya,
 klien mendeposit 1000 usd, mereka akan diberi modal tambahan sebanyak 
1000 usd, menjadikan jumlah modal untuk didagangkan di pasaran Forex 
berjumlah 2000 usd.
Dari manakah duit itu datang? Duit yang dipaparkan itu sebenarnya hanya wujud ‘on screen’
 sahaja. Modal tambahan itu sebenarnya tidak wujud dan biasanya 
diberikan syarat-syarat tertentu supaya pelabur sukar untuk melakukan 
pengeluaran.

Di belakang tabir, deposit asal itu dipusing untuk membayar pelabur lama dan membayar komisyen kepada pihak yang menjadi ‘introducer’. Dagangan Forex mereka seolah-olah dilakonkan di skrin sahaja. Ia sebenarnya tidak wujud, yang wujud hanyalah ‘money game’ semata-mata.
2014??
Kami tidak tahu apakah lagi idea-idea penganjur skim cepat kaya ini. 
Mereka terdiri daripada orang yang sama. Apabila sudah melesapkan duit 
pelaburan berjuta-juta ringgit, mereka akan rehat dahulu berbulan-bulan 
sebelum kembali dengan skim terbaru.
Mereka sungguh licik. Mereka akan terus menjadikan sesuatu produk, 
saham, emas, perak atau forex sebagai wayang untuk mengaburi mata pihak 
berkuasa dan bakal pelabur supaya modus operandi sebenar di belakang 
tabir sukar dikesan.
Tidak mustahil pada tahun 2014, skim cepat kaya ini akan berlindung 
pula di sebalik nama kelab kebajikan. Itu jangkaan kami berdasarkan 
penubuhan beberapa kelab kebajikan yang mempunyai pelan pelaburan dengan
 pulangan tetap setiap bulan.
Akhir sekali, pegang pada kata-kata ini untuk menyelamatkan duit kita
 daripada hangus ditelan skim-skim anjuran syaitan bertopeng manusia…
Sumber gambar dari Flickr: (Mike Poresky, incevents, digitalmoneyworld, Lucidio Studio)Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan
Hasbul Aqill & Hasbul Ariff
Majalah Niaga
Inovattic Solution, 31-4-2, Jalan 4 50, Diamond Square Business Center,, Off Jalan Gombak,, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan 53000, MALAYSIA
 


