Dalam tempoh 2008 hingga 2012, ia mencatat peningkatan 33,157 kes atau 72 peratus
KUCHING:
 Diabetes dikenal pasti menjadi antara penyakit tidak berjangkit yang 
terus merekodkan peningkatan amat membimbangkan di Sarawak.
Ini jelas, apabila dalam tempoh 2008 hingga 2012, ia mencatat peningkatan sebanyak 33,157 kes atau 72 peratus.
Justeru,
 Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berharap Persatuan Diabetes 
Malaysia Cawangan Sarawak terus berganding bahu dengan Jabatan Kesihatan
 Negeri mengadakan aktiviti pendidikan kesihatan diabetes bagi mendidik 
rakyat Sarawak tentang penyakit diabetes dan mengadakan lebih banyak 
saringan kesihatan bagi membantu masyarakat Sarawak mengadakan saringan 
kesihatan.
“Di Sarawak, bilangan penghidap diabetes terus meningkat daripada 46,415 orang pada 2008 kepada 79,572 orang pada 2012.
“Ini
 merupakan peningkatan yang amat membimbangkan,” katanya sambil menambah
 sepanjang 2012, sebanyak 9,903 kes baharu penghidap diabetes dilaporkan
 di Sarawak.
Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang 
dibacakan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil sempena 
Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 di KTS Garden, di sini semalam.
Sehubungan
 itu, Taib menyarankan masyarakat negeri ini agar melakukan saringan 
kesihatan berkala atau sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mengesan 
penyakit diabetes.
“Saringan kesihatan ini bukan sahaja dapat 
membantu kita mengesan penyakit diabetes tetapi juga penyakit tidak 
berjangkit yang lain seperti darah tinggi, sakit jantung dan kerosakan 
buah pinggang.
“Kita juga perlu mengubah gaya hidup harian dengan 
banyak melakukan senaman serta mengubah corak pemakanan harian kita 
berpandukan piramid makanan,” katanya.
Beliau turut menyeru mereka
 yang mengalami tanda-tanda seperti letih sepanjang masa, dahaga yang 
keterlaluan, kerap kencing, kehilangan berat badan tanpa sebab, 
pandangan menjadi kabur dan luka yang lambat sembuh agar segera berjumpa
 doktor atau ke klinik kesihatan yang berdekatan bagi melakukan 
pemeriksaan kesihatan agar penyakit dapat dikesan dan dirawat lebih 
awal.
Sementara, hasil tinjauan mengenai kesedaran diabetes di 
Malaysia yang dijalankan pada 2012, menunjukkan dalam tempoh lima tahun 
dari 2006 hingga 2011, bilangan pesakit diabetes telah meningkat 
sebanyak 31 peratus sekali gus menjadikan 2.6 juta rakyat Malaysia 
sebagai penghidap diabetes.
Tinjauan juga menunjukkan sebanyak 33 
peratus rakyat Malaysia yang menghidapi diabetes tidak pernah melakukan 
saringan kesihatan, malah mereka juga tidak mengetahui mereka menghidapi
 diabetes.
Menurut Presiden Persatuan Diabetes Malaysia Profesor 
Datuk Dr Ikram Shah, bilangan pesakit diabetes di Malaysia pada 2006 
adalah seramai 1.5 juta orang tetapi selepas lima tahun, bilangannya 
meningkat kepada 2.6 juta orang.
“Yang paling menakutkan ialah orang awam tidak sedar mereka sudah ada diabetes pada usia 30-an lagi.
“Bila
 mendapat komplikasi, pesakit perlu menanggung kos perubatan yang 
tinggi, produktiviti kerja berkurangan dan ahli keluarga dalam 
kesusahan.
“Atas kesedaran tersebut, (Persatuan) Diabetes Malaysia
 dan semua yang berkenaan perlu melipatgandakan kempen kesedaran 
kesihatan,” katanya.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan dan Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
Petikan dari tulisan Nick Fletcher. Posted on November 18, 2013, Monday
 



